APABILA membicarakan sejarah perkembangan Islam, kita tidak dapat menafikan bahawa tasauf dan berbagai-bagai jenis tarekatnya turut dibicarakan. Tarekat-tarekat itu menurut jumhur ulama ada yang mu'tabarah, iaitu tarekat yang dianggap benar-benar menurut ajaran Islam yang boleh diamalkan. Namun ada pula beberapa tarekat yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya.
Tarekat-tarekat mu'tabarah di dunia Melayu telah diajarkan serentak dengan kemasukan Islam itu sendiri di rantau ini. Perkara ini dapat dibuktikan dengan penulisan-penulisan ulama-ulama kita sejak abad ke 16-17 Masihi, baik ulama-ulama yang muncul di Aceh mahu pun di Patani dan termasuk ulama-ulama yang berasal dari Arab.
Penyebaran tarekat-tarekat tasauf itu sangat rancak sejak dulu hingga ke penghujung abad ke-19 Masihi atau awal abad ke 20 Masihi telah mulai terjadi pembaharuan. Sehingga ada segelintir para intelektual Islam di dunia Melayu sering memandang sesat yang membidaahkan ajaran tarekat dan berbagai-bagai disiplin ilmu Islami yang tidak mereka setujui.
Ulama-ulama tasauf telah membela tarekat-tarekat itu dengan hujah-hujah mereka yang tak akan terkalahkan baik di forum debat mahu pun dengan polemik berupa risalah atau kitab. Intelektual tarekat akan muncul setiap waktu mempertahankannya apabila diserang oleh orang-orang yang anti terhadap ajaran mereka.
Di antara kitab yang pernah menyenaraikan nama-nama tarekat dalam bahasa Melayu yang agak awal ialah Asrar al-Suluk ila Malail Muluk karangan Sheikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi (Aceh) disebutkan bahawa asal tarekah tasauf Islami dalam dunia ada empat belas, ialah:
lTarekat Thaifuriyah pengetuanya Abu Yazid al-Bisthami.
lTarekat Jistiyah pengetuanya Abu Ahmad Badruddin
lTarekat Qadiriyah pengetuanya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani
lTarekat Syahruriyah pengetuanya Sheikh Syihabuddin
lTarekat Kubrawiyah pengetuanya Sheikh Najmuddin Kubra
lTarekat 'Asyiqiyah dan Syathariyah pengetuanya Sheikh Abdullah asy-Syathari. Makna syathariyah ialah sangat pantas perjalanan dan dahulu sampai kepada Allah.
lTarekat Madariyah pengetuanya Sheikh Madar
lTarekat Jahariyah pengetuanya Sheikh Hujjah Ahmad Syawi
lTarekat Naqsyabandiyah pengetuanya Sheikh Abdul Khaliq Ajruni, kemudian maka Sheikh Bahauddin Naqsyabandi
lTarekat Khalwatiyah pengetuanya Sheikh Muhammad Khalwati
lTarekat Ni'matiyah pengetuanya Sheikh Syah Ni'matullah
lTarekat Jaidariyah pengetuanya Sheikh Syah Jaidar anak Juj Saiyidina Ali
lTarekat Jalaliyah pengetuanya Saiyid Jalal an-Najjari
lTarekat Qalandariyah pengetuanya Sheikh Syarfuddin Qalandar
Maksud 'pengetua' bagi setiap tarekat tersebut adalah orang pertama sebagai tokoh yang terkenal dalam sesuatu tarekat, bukan bererti sebagai 'pengasas'.
Di antara tarekat-tarekat yang tersebut di atas, antara yang tersebar secara meluas di dunia Melayu sejak dulu hingga sekarang adalah Syathariyah, Qadiriyah, Rifa'iyah, Naqsyabandiyah, Sammaniyah, Khalwatiyah, Ahmadiyah dan lain-lain.
Semua ulama dunia Melayu yang dipercayai benar ilmunya mengajarkan tarekat, di antaranya adalah Sheikh Nuruddin ar-Raniri, Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Wan Ali Kutan al-Kalantani dan ramai lagi.
Perkembangan tarekat-tarekat serta ulama tersebut telah penulis bicarakan sebelum ini, namun terdapat seorang ulama Tarekat Naqsyabandiyah yang belum dibicarakan lagi, iaitu Sheikh Abdul Azhim al-Manduri.
Sheikh Abdul Azhim Al-Manduri (Madura)
Ulama yang dibicarakan ini merupakan salah seorang murid Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi yang sangat terkenal berasal dari Madura dan pernah mengajar di Mekah (wafat tahun 1335 H/1916 M). Salasilah beliau dalam Tarekat Naqsyabandiyah adalah berikut:
lSheikh Abdul Azhim al-Manduri (Madura) belajar kepada dua Mursyid, iaitu:
lSaiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (1246 H/1830 M-1308 H/1890 M) dan Sheikh Abdul Hamid ad-Daghitstani al-Muzhhari, belajar kepada
lSheikh Muhammad Muzhhar al-Ahmadi (wafat 1301 H/1883 M di Madinah), beliau inilah yang dianggap sebagai Mujaddid Tarekat Naqsyabandiyah pada aliran ini, belajar kepada
lSheikh Ahmad Sa'id al-Ahmadi (wafat 1277 H/1860 M di Madinah) belajar kepada
lSheikh Abu Ahmad Sa'id al-Ahmadi (wafat 1250 H/1835 M di Madinah) belajar kepada
lSheikh Abdullah ad-Dihlawi (1158 H/1735 M12 Safar 1240 H/1824 M). Mulai dari sini hingga ke penghujung salasilah adalah sama dengan Salasilah Tarekat Naqsyabandiyah Khalidiyah Syeikh Ismail Minangkabau.
Selain belajar kepada Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi (1246 H/1830 M-1308 H/1890 M), beliau juga belajar kepada Saiyid Abdul Karim Daghitstani (wafat akhir Syaaban 1338 H/1909 M), Saiyid Umar asy-Syami (1245 H/1829 M-Syawal 1313 H/1895 M).
Sheikh Abdul Azhim al-Manduri mempunyai murid yang sangat ramai, kebanyakannya menyebarkan Tarekat Naqsyabandiyah itu. Salah seorang di antara mereka ialah Kiai Haji Zainal Abidin Kwanyar, Bangkalan, Madura (wafat 1358 H/1939 M), yang berbiras dengan Sheikh Abdul Azhim al-Manduri. Murid Sheikh Abdul Azhim al-Manduri yang sangat terkenal pula ialah Kiai Khalil al-Bankalani (wafat 1344 H/1925 M).
Salah seorang keturunan muridnya ialah Kiai Fathul Bari, berasal dari Sampang dan wafat di Peniraman, Kalimantan Barat tahun 1960 M. Murid beliau ini sangat ramai di Madura, Jawa Timur dan Kalimantan Barat. Setelah beliau wafat, muncul pula murid beliau Saiyid Muhsin al-Hinduan, ulama yang mempunyai murid yang sangat ramai di Kalimantan Barat, Jawa dan Sulawesi. Beliau meninggal dunia di Pontianak, pada 1980 M, jenazahnya diterbangkan ke Sumenep, Madura.
Karya Sheikh Abdul Azhim al-Manduri tersebut yang telah diketemukan hanya sebuah, iaitu Kaifiyat Berzikir Atas Thariqat Naqsyabandiyah, cetakan pertama Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1308 H/1890 M. Walaupun risalah tersebut kecil, namun mendapat pengaruh yang besar di kalangan pengamal-pengamal Tarekat Naqsyabandiyah di dunia Melayu.
Petikan kata-kata Saiyid Muhsin Ali al-Hinduan
Saiyid Muhsin Ali al-Hinduan, seorang Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah, pernah datang ke rumah Al-Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, membicarakan persoalan pada tahun itu akan diadakan Haul Imam Rabbani di Masjid Jami' Al-Falah, Sungai Jawi Dalam, Pontianak.
Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud menjelaskan bahawa pedoman beliau untuk memberikan ceramah tentang haul dan lain-lain, yang beliau diberikan kepercayaan oleh Al-Ustaz Saiyid Muhsin Ali al-Hinduan, yang paling penting sebagai pedoman beliau ialah karya Sheikh Abdul Azhim al-Manduri tersebut.
Saiyid Muhsin Ali al-Hinduan pernah merakamkan peristiwa yang diceritakan oleh gurunya yang beliau tulis dalam risalah kecil berjudul Rantai Mas. Di sini penulis menyalin semula yang termaktub pada halaman 72, menurut beliau adalah berikut:
"K. H. Zainal Abidin Kwanyar Bangkalan Madura adalah seorang Alim Besar, soleh serta warak. Beliau ini adalah saudara misanan daripada Sheikh Abdul Azhim (meninggal di Bangkalan tahun 1335 H/1916 M) pembawa Tarekat Naqsyabandiyah Muzhariyah ke daerah Madura, dan sejak kecilnya memanglah dalam asuhannya. Beliau dibawa ke Mekah oleh saudaranya itu dan lama tinggal di sana menuntut berbagai-bagai ilmu kepada alim ulama Mekah.
Pernah beliau menceritakan kepada beberapa orang muridnya, bagaimana asal mulanya beliau menganut Tarekat Naqsyabandiyah, katanya:
"Lama benar saya tinggal di Mekah dalam asuhan kakandaku Sheikh Abdul Azhim, seorang Mursyid Tarekat Naqsyabandiyah yang tak ada bandingannya di masa itu. Beliau tersohor sebagai Wali Allah yang istimewa, yang tidak sedikit murid-muridnya.
Di sana saya menuntut berbagai-bagai ilmu kepada alim ulama yang besar-besar, seperti Tuan Sheikh Umar Bajunaid, Tuan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau dan lain-lainnya. Dalam hatiku memang sudah terkandung hasrat yang besar untuk mempelajari Tarekat Naqsyabandiyah, namun setiap kali saya memberitahu akan hal itu kepada sang Guru Besar Tuan Sheikh Ahmad Khathib, sentiasa beliau mencegah dan melarang saya seraya katanya, "Tarekat Naqsyabandiyah itu tidaklah berasal daripada agama sedikit pun juga, melainkan hanya buatan manusia. Pokoknya Tarekat Naqsyabandiyah itu tidak lebih daripada bidaah dhalalah.
Akan tetapi dengan kehendak Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang, ketika pada suatu hari saya sedang mentelaah kitab yang saya kaji, sekonyong-konyong datanglah kakandaku Sheikh Abdul Azhim ke tempatku seraya katanya: "Hai Zainal Abidin, mengapakah tidak engkau segera mempelajari Tarekat Naqsyabandiyah, padahal aku sendiri di sini sebagai seorang Mursyid dan Guru dari tarekat tersebut? Ketahuilah bahasa yang dikatakan orang yang kamil itu, bukanlah hanya orang yang pandai membaca kitab yang beraneka warna akan tetapi orang yang sebenar-benarnya kamil ialah orang yang tidak kunjung, putus perhubungan batinnya dengan Allah sedikitpun juga, walaupun orang itu hanya berilmu sekadar cukup dipakai saja".
Dan katanya pula: "Sekalipun sampai di mana ilmu pengetahuan mu dan ibadah zahir yang engkau kerjakan itu, namun tetaplah tak akan diterima Allah bila tidak disertakan hati yang bersih, tulus ikhlas serta senantiasa ingat akan Allah. Kerana kehodohan hati kepada Allah itulah yang disebut Ruhul Ibadah. Ada pun setiap amal ibadah apa pun juga yang tidak disertakan perhubungan batin maka yang demikian itu adalah ibarat bangkai yang tak bernyawa lagi atau kata lebih tegas, "Bangkai ibadah namanya".
Perkataan kandaku serasa menusuk jantungku, sehingga menyebabkan saya berani menghadap sang Guru Sheikh Ahmad Khathib meminta izin sekali lagi daripadanya untuk mempelajari Tarekat Naqsyabandiyah kepada kekanda Sheikh Abdul Azhim.
"Telah berulang-ulang saya terangkan kepadamu bahasa Tarekat Naqsyabandiyah itu adalah bidaah dhalalah," katanya dengan muka marah. "Saya ingin tahu yang sebenarnya," kataku. "Kerana penentangan yang tidak disertakan dengan penyelidikan yang saksama salahlah hukumnya."
Lalu katanya: "Baiklah, boleh engkau masuk Tarekat Naqsyabandiyah itu dengan maksud dan niat yang demikian namun engkau harus berhati-hatilah, jangan sampai tertipu atau terpengaruh oleh ajaran-ajarannya. Kerana tidaklah sedikit orang orang yang telah terjebak dalam perangkap mereka padahal mereka itu adalah dari alim ulama yang ternama." "Tidak khuatir. Insya-Allah," jawabku.
Pada malam hari itu juga saya datang menemui kekanda Sheikh Abdul Azhim di majlisnya dan kebetulan beliau sedang dikerumuni oleh murid-muridnya yang ramai. Mereka sama duduk menghadap beliau dengan penuh hormat, khidmat dan takzim kepada beliau.
Saya terus duduk di samping beliau dan menyampaikan keinginan yang telah lama terkandung dalam hatiku, iaitu minta ditalqinkan zikir Tarekat Naqsyabandiyah. Dengan pandangan yang tajam beliau menatap muka saya seraya katanya: "Engkau akan berbai'at dalam Tarekat Naqsyabandiyah?" "Ya", jawabku.
Kata beliau lagi, "Ketahuilah bahasa Tarekat Naqsyabandiyah yang kita amalkan ini adalah satu-satunya tarekat yang memang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabatnya. Dan engkau harus yakin dalam hatimu akan yang demikian itu. Jangan masih ada terselit dalam hatimu pendapat orang-orang yang sesat yang mengatakan bahasa Tarekat Naqsyabandiyah itu tidaklah daripada ajaran Islam sedikit pun juga. Kerana orang yang suka mengatakan demikian itu tidaklah lain, kecuali mereka yang hampa hati sanubarinya dari 'Nur Ilahi', yakni hanya berisi hawa nafsu dan syaitan belaka. Mereka tidaklah pernah merasakan 'isyq (rindu) kepada Allah dalam erti kata yang sebenarnya, bahkan mereka tidak mengerti apa yang dikatakan rindu kepada Allah itu. Ibadah yang mereka kerjakan itu tidaklah lebih daripada Tazyinuz Zahir (Perhiasan zahir) sedang isi hatinya bertentangan dengan apa yang diperbuatnya".
Dan katanya pula: "Hai anakku Zainal Abidin, marilah engkau memasuki Tarekat Naqsyabandiyah ini dengan niat yang suci murni, iaitu tidak lain hanya menuntut keredaan Allah SWT. Bukan dengan niat menyelidiki atau hanya ingin mengetahuinya saja. Dan kelak setelah engkau mengamalkannya, tentulah engkau tahu, apakah benar orang-orang yang mengatakan bahasa Tarekat Naqsyabandiyah itu bidaah dan sebagainya".
Kata K.H. Zainal Abidin lagi: "Setelah saya mendengar keterangan yang beliau terangkan itu, gemetarlah hati dan tubuh saya, serta dilangsungkannya bai'at pada malam itu juga, dan ditawajjuhlah batinku dengan zikrullah. Allahu Akbar! Pada tawajjuh yang pertama kali itu dapatlah saya rasakan nikmat dan lazat zikrullah yang belum pernah saya rasakan selama hidup, serta tersingkaplah tirai batin yang menyelubungi saya dan dibukakan-Nya kepada saya beberapa pemandangan yang indah-indah yang sukar bagiku untuk menceritakannya dengan lidah zahir ini.
Pada keesokan hari itu jua datanglah saya ke tempat Guru Besar Sheikh Ahmad Khathib, kemudian dengan tegas saya nyatakan kepada beliau, bahasa Tarekat Naqsyabandiyah adalah satu-satunya jalan yang baik bagi umat Islam, untuk mencapai tingkat tauhid yang setinggi-tingginya. Mendengar yang demikian itu beliau terkejut dan hairan seraya katanya dengan muka yang sangat merah: "Kalau sudah demikian pendapat engkau, nyatalah bahasa racun Tarekat Naqsyabandiyah itu telah mengenai dirimu."
"Memang," kataku, "dan saya yakin dengan sepenuh-penuhnya bahasa Tarekat Naqsyabandiyah itu adalah memang ajaran agama Islam yang sebenarnya. Dan keyakinan yang demikian itu, selain disebabkan Tarekat Naqsyabandiyah memang berdasarkan al-Quran dan hadis Rasullullah SAW pun juga disebabkan pengalaman dan zauq yang telah saya peroleh." Demikian menurut Saiyid Muhsin Ali al-Hinduan dalam bukunya berjudul Rantai Mas.
Penutup
Sebagaimana telah disebutkan bahawa sebuah karya Sheikh Abdul Azhim al-Manduri yang berpengaruh mengenai Tarekat Naqsyabandiyah di dunia Melayu/Asia Tenggara ialah Kaifiyat Berzikir Atas Tariqat Naqsyabandiyah. Karya itu jika kita ringkaskan maka natijahnya adalah sebagai yang berikut:
Sheikh Abdul Azhim al-Manduri sebelum memasuki perkara-perkara lainnya, beliau menganjurkan supaya menjaga adab salasilah. Kata beliau, "Dan sayugia lagi baginya bahawa tiada meninggalkan ia akan membaca salasilah sekurang-kurangnya setiap delapan hari sekali atau dua kali. Dan jika dibaca sehari semalam satu kali, iaitu terlebih bagus. Bermula jika dibaca pada malam dan lepas sembahyang tahajud, iaitu terlebih afdal.
"Istimewa pula apabila ada barang yang dikehendaki daripada Allah SWT. Kerana dengan berkat mereka itu tiada tertolak oleh hajat, Insya-Allah SWT, sama ada perkara dunia atau perkara akhirat."
sumber:
Utusan Online
No comments:
Post a Comment